Saturday, October 6, 2012

Raja Ampat, Papua Barat - Bagai di Syurga Dasar Laut

Raja Ampat, Papua Barat - Bagai di Syurga Dasar Laut
Location : Papua Barat, Indonesia
Shamran Sarahan




Looking For Cheap Trekking and Tour Packages of Nepal ?

Find & Compare Prices on Trekking and Tour Nepal. Get the Trekking and Tour Nepal  Deals!
http://www.buddhanepaltrek.com/

Source :Metro Ahad,31 July 2011

1 of 5
Teruja dengan kecantikan dasar laut di Raja Ampat yang masih terpelihara dan tidak tercemar.

JARAK antara Sulawesi dan Papua Barat tidaklah jauh, malah wilayah ini berjiran di Indonesia. Yang menjauhkan mereka hanyalah rencah hidup dan budayanya. Mereka mudah dibezakan.

Di Sulawesi, majoriti orangnya berkulit sawo matang tetapi di Papua orangnya berkulit hitam dan berambut kerinting.

Itu juga yang membuatkan dua wilayah di Indonesia Timur ini menarik, baik daripada segi perbezaan budaya dan manusianya, bahkan keindahan muka bumi serta alam semula jadi. Dua tempat ini menjanjikan segala-galanya kepada orang luar.

Penghujung April lalu, penulis menjejakkan kaki ke sana. Tidak lama masa penulis habiskan di dua wilayah ini, iaitu hanya empat hari di Makassar, Sulawesi dan enam hari di Raja Ampat, Papua Barat.

Berada di dua wilayah ini, banyak pengalaman menarik untuk dikongsi, bukan untuk diri penulis malah bersama sembilan rakan lain dalam rombongan penulis.

Percutian kami ketika itu juga bukan semata-mata makan angin, sebaliknya menjalankan aktiviti selam skuba diKepulauan Raja Ampat. Rombongan ini diketuai jurulatih selam skuba berpengalaman, Ismadi Ismail, 35, yang pernah berkunjung ke situ.

Ikuti catatan ringkas penulis dalam mengimbas kehidupan masyarakat, budaya dan menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang 10 hari di kedua-dua wilayah berkenaan.

DARI MAKASSAR KE SORONG

Setiap inci kota Makassar dipenuhi ratusan manusia. Jalan rayanya haru-biru. Suasananya hiruk pikuk. Bas, lori, kereta dan motosikal bersimpang siur. Kota yang dulunya dikenali sebagai Ujung Pandang menjadi tumpuan manusia.

Makassar sebenarnya hanya persinggahan sebelum melanjutkan perjalanan ke Sorong untuk ke Raja Ampat. Sementara menunggu penerbangan ke Sorong, kami menghabiskan masa dua hari di kota ini.

Kesempatan itu membuka peluang untuk berkunjung ke tempat menarik di sekitar Makassar. Pertama, kami singgah Fort Rotterdam. Ia kubu dan tempat bersejarah ketika penjajahan Belanda di negara itu.

Penjajah Belanda menawan pelabuhan yang dulunya dikenali sebagai Pelabuhan Makassar itu pada 1667. Tempat ini bersejarah, dulu banyak pertumpahan darah berlaku di situ antara penduduk tempatan dan penjajah.

Kami seterusnya berkunjung ke perkampungan budaya masyarakat Bugis yang juga majoriti masyarakat diKepulauan Sulawesi. Kurang lengkap rasanya kunjungan ke Makassar jika tidak cuba mengenali lebih dekat budaya orang Bugis di situ.

Di sini, suku Bugis adalah rumpun masyarakat yang besar dan dibahagikan mengikut daerah tertentu. Ada Bugis Bone, Bulukumba, Enrekang, Gowa, Jeneponto, Luwu, Parepare, Pinrang, Polmas, Soppeng, Takalar, Tana Toraja dan Wajo. Di Sulawesi selatan saja, ada 24 daerah untuk suku ini.

Ketika di perkampungan Bugis, kami dapat melihat rumah adat suku kaum Bugis mengikut daerah masing-masing. Setiap satunya ada kelainan tersendiri dan berbeza-beza.

Destinasi ini menarik untuk dikunjungi, lebih-lebih lagi ia terletak berhampiran pantai dengan pemandangan mempesonakan.

Sayangnya, ia tidak dijaga. Rata-rata rumah adat di situ terbiar, sebilangan rumah pula dijadikan kediaman orang yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga rumah berkenaan.

RAJA AMPAT, PAPUA BARAT

Perjalanan kami ke Sorong dilanjutkan dengan menaiki penerbangan domestik lebih kurang dua jam penerbangan. Untuk ke Papua Barat, Sorong adalah pintu masuknya.

Ia hanya kota kecil. Janggal juga rasanya berada di kota ini memandangkan orangnya jauh berbeza dengan kebanyakan penduduk Indonesia.

Mereka hitam dan berambut kerinting, sama seperti orang kulit hitam di Barat. Hanya persamaan bahasa sedikit sebanyak membuatkan penulis dekat dengan mereka.

Dari Sorong, kami menuju ke Raja Ampat. Perjalanan kali ini diteruskan dengan menaiki kapal layar bermotor. Empat hingga lima jam perjalanan laut perlu ditempuhi untuk sampai ke kepulauan berkenaan.

Bagi yang tidak biasa menempuhi perjalanan laut yang panjang, tempoh itu memang menyeksakan. Penulis dan dua tiga rakan lain mengalami mabuk laut.

Pun begitu, semua itu tertebus selepas menikmati keindahan dasar laut Raja Ampat. Banyak destinasi selam skuba yang penulis kunjungi, termasuk di Pulau Sipadan di negara kita, namun tidak dapat menandingi kecantikan dasarlaut di Raja Ampat.

Ia masih terpelihara. Panorama di dasar lautnya hebat dan tidak tercemar. Pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah ketika melakukan selam skuba di tapak selaman, Mike´s Point.

Di situ, lanskap dasar lautnya sangat cantik. Sebut saja apa jenis hidupan laut dan batu karang, semuanya terhidang di depan mata. Bagaikan di syurga dasar laut.

Pari paus juga mudah di temui di kepulauan ini. Kami menemuinya ketika menyelam di tapak selaman Manta Sandy. Lebih menyeronokkan, selepas menyelam di Manta Sandy, kami melihat kumpulan ikan lumba-lumba ´bermain-main´ berhampiran kapal kami.

Hari-hari terakhir selaman, penulis dan rakan menyelam di kawasan paya iaitu Wasiar Mangrove. Meskipun kawasan paya, airnya jernih. Pemandangan dasar lautnya memang lain daripada yang lain.

Pernah seorang rakan wartawan berkata kepada penulis, tidak lengkap bergelar penyelam skuba jika tidak pergi ke Raja Ampat. Memang benar, bagi penyelam skuba, Raja Ampat adalah pulau yang wajib dikunjungi.

Ia syurga buat kaki selam. Bayangkan, sepanjang mengadakan aktiviti selam skuba di Raja Ampat, penulis hanya berkesempatan mengunjungi 16 tapak selaman, sedangkan di sana ada lebih 300 tapak selaman yang dikenal pasti.

Itu hanya jumlah tapak yang dikenal pasti, masih banyak lagi dunia dasar lautnya yang belum diterokai. Kepulauan ini merangkumi 610 pulau, dan hanya 35 pulau didiami manusia.

Raja Ampat memiliki 1,397 spesies ikan batu karang daripada 1,606 spesies yang didapati di seluruh perairan Papua Barat.

Daripada jumlah itu, 35 spesies hanya boleh ditemui di kepulauan ini dan Papua Barat (termasuk seluruh Papua New Guinea).

Seluruh Papua merekodkan 603 jenis batu karang dan ia membabitkan 75 peratus batu karang di seluruh dunia. Jumlah itu 10 kali lebih banyak berbanding batu karang yang ditemui di seluruh Kepulauan Caribbean.

KEMBALI KE MAKASSAR

Dua hari terakhir kami tidak banyak melakukan aktiviti, melainkan menunggu masa pulang ke Kuala Lumpur.

Lagi pula badan masih keletihan selepas enam hari melakukan aktiviti selam skuba di Raja Ampat. Sedikit masa yang ada hanya dihabiskan dengan membeli-belah dan berpusing-pusing di sekitar kota Makassar.

Selepas puas menikmati keindahan dasar laut dan alam semula jadi di Raja Ampat, penulis mula terasa `sesak´ menghabiskan sisa-sisa terakhir di Makassar. Berada di perut kota ini dengan penduduknya yang ramai memang ´menyesakkan´.

Lebih-lebih lagi sebelah malamnya haru biru dan hiruk pikuk kota ini tidak menentu. Kelab dangdut dibanjiri warga kotanya.

Pesisir jalan penuh dengan kanak-kanak yang berpeleseran. Jika bertemu `orang luar´, mulalah mereka datang berduyun-duyun meminta sedekah.

Sebagaimana lazimnya di Indonesia, orang luar bagi mereka adalah lubuk wang. Apalagi wanitanya, ramai suka mengejar orang luar untuk wang dan mereka sanggup lakukan apa saja demi mendapatkan wang.

Di sini, tiada siapa peduli apa yang mereka lakukan, asalkan ia boleh memberi pulangan dan menyenangkan hidup mereka. Penulis tidak bersikap prejudis, tetapi itulah hakikatnya dan ia realiti kemanusiaan yang sebenar.

Indonesia ialah tanah bagi manusia yang ramai. Jurang hidup umpama langit dan bumi. Yang papa terlalu papa, yang kaya terlalu kaya.

Yang kaya tidak pandang ke bawah, yang bawah tetap di bawah.

No comments:

Post a Comment