Saturday, October 6, 2012

Celaru di Palau

Celaru di Palau
Location : Palau
Riadz Radzi





Looking For Cheap Trekking and Tour Packages of Nepal ?

Find & Compare Prices on Trekking and Tour Nepal. Get the Trekking and Tour Nepal  Deals!
http://www.buddhanepaltrek.com/


Source :Metro Ahad,24 July 2011

1 of 5
  • CANTIK...pantai di Pulau Gguzz yang cukup mempesona.
Sistem jalan raya direka untuk pemanduan di sebelah kiri, tetapi lebih 90 peratus kereta dipandu di sebelah kanan.

HAMPIR semua rakan yang ditemui tidak tahu mengenai kewujudan negara Palau. Seorang rakan media yang turut diundang syarikat Nestle (M) Sdn Bhd pula menyangka Nestle selaku penganjur tersalah eja perkataan ´pulau´ ketika menghantar undangan percutian itu, baru-baru ini.

Ramai juga di kalangan kami menyangka Palau yang mempunyai 20,000 penduduk adalah Pulau Palawan iaitu satu daripada wilayah di Filipina.

Tidak kenal, maka tidak cinta. Justeru, pencarian di Google dan Wikipedia banyak membantu penulis mendapatkan maklumat mengenai negara kecil dengan penduduk berwajah keMelayuan tetapi fasih berbahasa Inggeris lenggok Amerika itu.

Jika tidak kerana undangan Nestle juga, entah bila agaknya penulis akan sampai ke Palau, negara kepulauan diLautan Pasifik yang terletak 800 kilometer (km) ke timur Filipina dan 3,200 km ke selatan Jepun.

Republik itu antara negara paling muda di dunia selepas ia mencapai kemerdekaan pada 1 Oktober 1994. Sebelum itu sejak 1947, Palau di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Penulis dibawa ke Palau bersama dengan lima pemenang utama peraduan Nestle Drumstick ´Kembara Di Hujung Pelangi´ yang ditawarkan hadiah percutian enam hari lima malam di negara itu. Yang pasti, Palau adalah negara cukup asing bagi kebanyakan rakyat negara ini.

Palau dengan keluasan hanya 459 km persegi (lebih kecil dari Perlis) belum tercemar, baik daripada segi alam sekitar mahu pun penduduknya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Palau yang terletak di Airai, dekat Pulau Babeldaob, empat km dari bandar terbesarnya, Koror hanya memiliki tiga lorong untuk pemeriksaan imigresen - dua untuk warga asing dan satu untuk rakyat negara itu.

Tidak ada penerbangan terus dari Malaysia dan jika mahu ke Palau, kita perlu mengambil penerbangan dari Manila, Filipina dengan Continental Airlines atau Tokyo-Narita dengan Delta Air Lines.

Daripada segi pembangunan, Palau agak ketinggalan. Tidak ada bangunan pencakar langit (paling tinggi hanya 10 tingkat) atau pusat beli-belah mega, malah jalan rayanya tidak ada lampu isyarat, apatah lagi persimpangan bertingkat.

Jika terlewat ke tempat kerja, orang Palau tidak boleh beri alasan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerana ia tidak pernah berlaku di negara itu.

Uniknya di Palau ialah sistem jalan rayanya yang boleh dianggap paling pelik di dunia! Sistem jalan raya negara itu direka untuk pemanduan di sebelah kiri (left hand drive) sebagaimana di Amerika Syarikat (AS), tetapi lebih 90 peratus kereta di negara itu yang dibawa masuk dari Jepun adalah pemanduan di sebelah kanan (right hand drive).

Jadi, bayangkan anda memandu di sebelah kanan di atas jalan raya yang menggunakan sistem pemanduan disebelah kiri? Tidakkah kekok?

"Kami dah biasa. Memang nampak kekok, terutama jika hendak memotong dan keluar dari simpang, tetapi itulah yang berlaku di Palau," kata penduduknya, Kent Giramur.

Kent, 50, yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong berkata, negara itu banyak mengambil sistem yang diamalkan di AS, termasuk sistem jalan raya serta penggunaan mata wang Amerika (USD).

"Namun, dengan purata pendapatan USD500 (RM1,500) sebulan, kami tidak mampu membeli kenderaan yang diimport dari AS. Jadi kereta terpakai dari Jepun dibawa ke sini dan ia lebih murah, menyebabkan berlakunya ´kecelaruan´ dalam sistem jalan raya.

"Ada yang berpendapat mengapa tidak diubah sistem jalan raya itu kepada pemanduan di sebelah kanan, malangnya ´orang berkuasa´ di sini tidak mahu kerana kebanyakan mereka memandu kereta buatan AS selain memberi alasan kos tinggi," katanya.

Namun, dalam keadaan kekok itu, kadar kemalangan jalan raya di Palau sangat rendah.

Yang pasti, sebagai negara dikelilingi laut, pelancongan adalah aktiviti utama di sini yang turut menyediakan kemudahan bertaraf kelas satu.

Laut membiru, pantai memutih, makanan laut dan aktiviti laut seperti snorkeling, selam scuba dan kayak adalah tarikan utama di Palau.

Bagi yang meminati selam scuba, Palau adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Ada 75 kawasan selam scuba dikeliling pulau berkenaan yang menawarkan panorama ´syurga lautan´ yang mempesona.

Antara yang terbaik ialah Ulong Channel, Shark City, Peleliu Express dan Ngerchong Outside. Selain dikelilingi kepelbagaian hidupan lautan, pengunjung boleh mencari pengalaman menyelam bersama ikan jerung di beberapa lokasi tertentu di situ.

Selain itu, penyelam scuba boleh menyelam di sekitar kapal perang Jepun yang tenggelam di perairan Palau ketika Perang Dunia Kedua. Sebanyak 24 kapal perang Jepun ditenggelamkan tentera AS dalam pertempuran hebat diPulau Peleliu di selatan negara itu pada 1944.

Antara lokasi menarik ialah George Bush Wreck sedalam 12 meter iaitu lokasi kapal perang Jepun sepanjang 45 meter yang ditembak dan ditenggelamkan oleh bekas Presiden AS, George Bush pada 25 Julai 1944 ketika beliau bertugas sebagai juruterbang jet pejuang AS.

Jika tidak memiliki lesen selam scuba, anda masih boleh menghayati keindahan dasar laut Palau dengan melakukan aktiviti snorkeling.

Palau menawarkan banyak lokasi snorkeling yang mengagumkan, malah penulis dibawa ke empat lokasi berkenaan yang disifatkan terbaik.

Dua daripadanya adalah lokasi snorkeling yang tidak ada di mana-mana tempat di seluruh dunia iaitu Milky Way dan Jellyfish Lake.

Milky Way yang terletak 30 minit perjalanan dengan bot dari jeti di Koror ialah sebuah teluk dikelilingi pulau batu kapur. Ia dipanggil Milky Way kerana warna airnya seperti susu dan ia terjadi akibat mendapan lumpur batu kapurdi dasarnya.

Paling menarik, sebelum melakukan snorkeling, lumpur itu dilumur pada seluruh tubuh kerana difahamkan ia baik untuk penjagaan kulit.

Selain itu, Jellyfish Lake yang terletak di Rock Islands, 45 minit perjalanan bot dari Koror, menawarkan satu-satunya aktiviti di dunia iaitu snorkeling bersama obor-obor.

Jellyfish Lake ialah tasik air masin yang terletak di Pulau Eil Malk, iaitu sebahagian daripada gugusan pulau di Rock Islands.

Bayangkan anda menyelam bersama ribuan obor-obor dari spesies ´Golden Jellyfish´ yang bersaiz sebesar syiling lima sen hinggalah sebesar tapak tangan! Anda juga tidak perlu bimbang kerana ia spesies yang tidak berbahaya kepada manusia.

Selain itu, penulis dibawa ke Clam City yang di dasarnya wujud habitat kepah gergasi bersaiz hampir sebesar bantal dan Pulau Nguzz yang menawarkan pemandangan mengasyikkan ribuan hidupan marin.

Bukan setakat laut yang ditawarkan di Palau, malah ia juga kaya dengan flora dan fauna yang belum tercemar.

Palau Eco Theme Park yang terletak di Hutan Simpan Taki, Ngardmau, dekat Pulau Babeldaub menawarkan keindahan alam semula jadi, di samping menyediakan aktiviti lasak seperti zipline (seperti flying fox) dan merentas hutan.

Ada tiga fasa zipline di situ dengan jarak di antara 250 meter (m) hingga 350m dan ketinggian hampir 100m. Jarak keseluruhan yang hampir mencecah satu km menjadikan zipline di Palau yang terpanjang di dunia.

Namun, jika gerun dengan zipline, pengunjung boleh menaiki monorail dengan trek sepanjang 1.3km sambil menikmati keindahan alam semula jadi di situ atau berjalan kaki merentas hutan.

Tarikan utama di situ ialah air terjun setinggi 30 meter sambil mandi manda di sungai di bawahnya.

Yang pasti, Palau menjanjikan pelbagai keseronokan jika anda penggemar aktiviti laut dan pencinta alam semula jadi.

Mahu membeli-belah? Maaf, Palau bukan tempatnya kerana tidak ada apa yang menarik dijual di sini selain barangannya mahal kerana semua transaksi hanya menggunakan USD.

No comments:

Post a Comment